Monday, June 1, 2009

Naik taraf KPP


SHAH ALAM – Saranan untuk menaik taraf Kelab Penyokong Pas (KPP) sebagai sayap parti Pas akan diketahui selewat-lewatnya sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad berkata, terdapat banyak perkara yang perlu diteliti dari semua peringkat sebelum membuat keputusan.

Menurutnya, saranan itu adalah hasrat parti dan masih dalam proses perbincangan untuk menjadikan Kelab Penyokong Pas (KPP) sebagai dewan seperti Dewan Muslimat dan Dewan Ulama.

“Perkara ini tidak boleh dilakukan secara mengejut kerana ia turut melibatkan perlembagaan parti, dan akan melalui beberapa proses perbinca-ngan serta perbahasan.

“Ini sebab, berkemungki-nan ada pihak yang kurang senang kerana khuatir mengenai perkara ini. Justeru, pandangan ahli yang lain juga perlu diambil kira,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu akan dibawa dan dibahaskan dalam Muktamar Pas kali ini, tetapi keputu-sannya mungkin belum lagi dibuat.

“Apa pun, saya berharap agar pihak berkenaan tidak terlalu berharap manakala pihak yang lain pula tidak boleh terlalu prejudis (syak) berhubung perkara ini.

“Proses ini akan mengambil masa yang lama khususnya bagi memahamkan penyokong parti agar tidak ada masalah yang timbul kelak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kajian secara terperinci dari segi teknikal perlu dilakukan, termasuklah memberikan penjelasan dalam kalangan ahli Pas.

“Saranan berkenaan sebenarnya itu bukan keputusan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebaliknya dipersetujui Majlis Syura Ulama.

“Perkara ini pernah dibincangkan sebelum ini tetapi ditangguhkan untuk menunggu masa yang sesuai dan kini akan dikaji dari segi teknikal. Ada pihak yang berpendapat, ahli KPP perlu menjadi ahli Bersekutu terlebih dahulu sebelum menjadi ahli Dewan,” katanya.

Katanya, perkara itu di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Teknikal yang diketuai bekas Timbalan Presiden Pas, Hassan Shukri.

Menurut Siti Mariah, setiap ahli adalah berbeza tahap penerimaannya mengenai Pas dan mungkin ada yang bimbang sekiranya terdapat ahli ‘non-muslim’ (bukan Islam), pimpinan Pas akan menjadi cair.

“Ahli KPP perlu memahami dahulu parti ini supaya kelak mereka tidak akan menentang sekiranya ada perkara yang mereka tidak setuju.

“Mereka perlu memahami polisi parti, sekiranya mereka masuk tanpa persediaan, takut ada masalah akan timbul. Kita tidak mahu perkara itu berlaku dan tidak mahu tercetus perselisihan dalam parti,” katanya.

Menurutnya, ahli menyertai KPP mungkin disebabkan mereka percaya Islam itu adil, tetapi mungkin belum sampai tahap untuk masuk Islam. Tetapi sekiranya mereka masuk Islam, mereka bebas menyertai mana-mana Dewan atau kekal sebagai ahli KPP.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan tetapi menyambut baik saranan tersebut.

“Itu adalah cadangan dan ia tertakluk kepada banyak proses dalam parti. Saya harap ia dapat melalui proses yang sepatutnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts