Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari mengingatkan pimpinan tertinggi masjid yang baru dilantik dan ahli kariah supaya terus memuliakan masjid sebagaimana sewajarnya.
Menurutnya, tidak kira siapa yang dipilih untuk menerajui masjid, mereka perlu komited memberikan khidmat secara sukarela tanpa bertopengkan sesuatu parti politik itu.
Kata beliau, bagi yang tidak terpilih pula, bukan bermakna khidmat dan jasa mereka sudah tidak diperlukan lagi, namun lebih baik jika bekerjasama bersama ahli jawatankuasa baru dalam sama-sama memakmurkan masjid sebagai institusi agama.
“Pelantikan nazir dan AJK baru kali ini dilaksanakan sepenuhnya mengikut Enakmen Agama negeri malah wakil rakyat tidak pernah masuk campur dalam pemilihan seperti yang berlaku pada zaman pemerintahan terdahulu.
“Oleh itu, saya berharap tiada perpecahan berlaku hanya kerana menyangka AJK baru dilantik berdasarkan kepentingan politik seperti yang didakwa beberapa pihak,” katanya.
Yaakob berkata, mengikut enakmen itu, perkara dan syarat jelas dinyatakan malah ia diikuti untuk memantapkan lagi pengurusan masjid.
“Pemilihan dilakukan masyarakat atau lebih tepat ahli kariah sendiri, oleh itu tidak timbul soal politik seperti digembar-gemburkan sebelum ini.
“Harapan saya supaya AJK yang baru dipilih dapat melaksanakan tugas mereka mengikut tujuh sifat terpuji iaitu paling penting jujur dalam melakukan setiap perkara,” kata beliau ketika menghadiri majlis serah tugas AJK lama kepada AJK baru Masjid Batu 14, Puchong yang akan berkhidmat sehingga 31 Mei 2012.
Beliau berkata, apa yang penting program masjid dapat diteruskan supaya lebih ramai masyarakat akan mengunjungi rumah Allah itu.
“Saya berterima kasih kepada pengurusan lama kerana jasa dan bakti mereka sejak penubuhan masjid sehinggalah ia dapat digunakan dengan sempurna oleh penduduk.
“Kita semua menyedari tanpa yang lama tidak mungkin barisan pimpinan baru akan wujud dan sedarlah perjuangan harus diteruskan sampai bila-bila,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah