Selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang, tidak sampai lima minit Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diarah keluar Dewan Rakyat.
Arahan itu dikeluarkan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia ekoran tindakan Nizar melaungkan slogan “bubar Dewan Undangan Negeri” sebaik sahaja menurunkan tandatangan angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan ingkar arahan supaya menanggalkan lilitan “BUBAR DUN” Perak.
Nizar mengenakan lilitan di kepalanya sejurus mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat Bukit Gantang. Tindakannya mencetuskan kekecohan apabila Speaker mengeluarkan arahan itu dan turut disokong oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak setuju dengan tindakan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengarahkan tujuh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) keluar dewan.
Beliau berkata, tindakan yang dilakukan oleh anggota dewan terbabit turut dilakukan oleh Ahli Parlimen di negara lain. “Saya akan berjumpa dengan Speaker berhubung dengan perkara ini, ia tidak sepatutnya berlaku kerana di negara lain pun terjadi perkara sebegini. “Pertemuan itu nanti saya akan meminta beliau (Speaker) untuk membenarkan mereka ini masuk semula ke dalam dewan,” katanya.
Perintah itu turut dikeluarkan kepada beberapa anggota Parlimen daripada PR iaitu Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena), Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan N.Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai).
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah