Thursday, June 4, 2009

TGNA tidak berpihak


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan beliau tidak memihak kepada mana-mana individu yang bertanding pada pemilihan parti itu yang bermula Jumaat ini. Beliau berkata, terserah kepada para perwakilan untuk menentukan barisan kepimpinan parti tersebut dan tidak menganggap kata-katanya sebagai petunjuk kepada pemilihan calon.

"Tiada siapa (pilihannya), apa yang penting ialah dapat melemahkan lawan, sama ada Datuk Husam Musa, Datuk Nik Abdul Aziz tidak penting, siapa saja boleh lakukan demi mendaulatkan Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Husam yang dikaitkan dengan golongan 'Erdogan' untuk menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas.

Semalam, akhbar melaporkan Nik Abdul Aziz berkata, sekiranya benar dakwaan wujudnya puak 'Erdogan' dalam Pas, ia adalah satu perkembangan yang baik kerana golongan ini mampu melemahkan pihak lawan.

"Saya sebenarnya tidak faham kenapa digunakan nama Erdogan. Erdogan ini nama Perdana Menteri Turki dan dia telah memalukan Perdana Menteri Israel, jadi kalau ada puak Erdogan dalam Pas ini saya berasa gembira, kerana mereka boleh memalukan golongan sekular," katanya.

Pemilihan Pas kali ini dikatakan paling sengit dalam sejarah parti itu kerana ia melibatkan pertembungan tiga penjuru untuk jawatan Timbalan Presiden iaitu penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa, Husam dan seorang lagi Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Dalam pada itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Husam telah menjalankan tugasnya dengan baik sebagai ahli politik dan kepimpinan negeri melalui pengalaman kerja bersamanya.

Beliau merujuk kepada kedudukan dan peranan Naib Presiden Pas itu di peringkat negeri dengan jawatan anggota Exco kerajaan negeri dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pengakuannya itu bukannya tanda memihak kepada Husam untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada muktamar tahunan parti itu.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts