Monday, June 1, 2009

KPP jadi pemangkin

Salah faham terhadap perjuangan Pas dikatakan menjadi salah satu penyebab kaum lain selain orang Melayu menjauhi parti itu kerana berasakan ia hanya untuk umat Islam dan tidak memperjuangkan nasib kaum lain.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kaum lain terutamanya Cina dan India sebelum ini disogokkan dengan gambaran yang salah mengenai konsep perjuangan Pas oleh pihak tertentu.

Menurut beliau, namun sejajar dengan perubahan zaman, pandangan itu sudah berbeza kini apabila kaum lain sudah mula memahami konsep perjuangan parti itu kerana selain memperjuangkan Islam, ia juga memperjuangkan hak kaum lain yang berlainan agama.

“Orang Melayu, Cina dan India adalah adik-beradik kerana mereka berasal dari ibu dan bapa yang sama iaitu Adam dan Hawa.

“Walaupun mempunyai fahaman agama berbeza, tidak bermakna Pas akan menidakkan hak kaum lain sekiranya diberi peluang memerintah negara,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Kelab Penyokong Pas Peringkat Nasional 2009 di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Klang di sini.

Konvensyen kali pertama itu dihadiri lebih 700 wakil kelab penyokong Pas dari seluruh negara.

Hadir sama, Ketua Dewan Pemuda Pas, Salehuddin Ayob, Ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud, Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Halimah Ali, ADUN Sijangkang Dr Yunus, ADUN Bangi Dr. Shafiee Abu Bakar, ADUn Kota Alam Shah, YB Manoharan, ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman. Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Azman Shapawi.

Kata Nik Abdul Aziz, kewujudan Kelab Penyokong Pas yang dianggotai oleh kaum bukan Melayu dianggap sebagai satu perkara yang baik kerana ia menunjukkan perjuangan Pas dalam kancah politik negara sudah mula diterima baik oleh kaum lain.

“Satu kajian untuk menaik taraf Kelab Penyokong Pas sebagai dewan atau sayap formal sedang giat dijalankan oleh pihak parti.

“Pas sedang membuat persediaan menyerap Kelab Penyokong Pas sebagai satu sayap parti yang sah mengikut perlembagaan parti dalam tempoh setahun lagi,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan sebagai sayap parti yang sah adalah amat penting bagi mengiktiraf keanggotaan masyarakat bukan Islam dalam parti itu.

Menurut beliau, sejak di tubuhkan pada 1951, Pas tidak mendapat tentangan hebat dari kaum Cina atau India atau mana-mana kaum lain tetapi ramai yang tidak mahu menyokong Pas.

“Namun keadaan itu berbeza kini lebih-lebih lagi dengan tertubuhnya kelab berkenaan.

“Kelab Penyokong Pas sepatutnya sudah lama diserap sebagai satu lagi sayap dalam Pas untuk menguatkan lagi jentera parti. Kelab itu juga berperanan menyebarkan tentang maklumat dan konsep perjuangan Pas dengan lebih tepat agar masyarakat terutamanya bukan Melayu tidak lagi salah faham,” katanya.

Kejayaan menghimpunkan semua kaum bagi penyokong perjuangan PAS akan jadi pemangkin kepada Parti Islam Se Malaysia (PAS) ini menjadi parti arus perdana pada PRU ke 13 nanti.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts