Wednesday, June 24, 2009

Muktamar : menguruskan perbezaan pendekatan dalam PAS

Muktamar pun telah berlalu dan PAS meneruskan perjalanannya untuk masa-masa akan datang. Sementara perwakilan cuba memahami isi kandungan ucapan dasar Presiden, gerak kerja parti akan terus diperkasakan melalui kepimpinan parti yang baru dilantik. Kenyataan ini bukanlah sesuatu yang baru tetapi begitulah routin setiap tahun, selesai sahaja Muktamar semua berasa lega kerana telah memenuhi kehendak perlembagaan parti yang menuntut supaya muktamar diadakan setahun sekali.

Apa yang menarik dalam Muktamar tahun ini ialah “ketegangan” yang disengajakan atau tidak disengajakan kerana pencalonan timbalan presiden dan naib-naib dan calon AJK yang begitu ramai. Pada satu sudut bilangan pencalonan yang ramai menunjukkan PAS tidak kekeringan pelapis yang bersedia untuk berkhidmat kepada parti. Pada satu sudut yang lain ia juga ditafsirkan sebagai perebutan jawatan yang bagi sesetengah pihak sudah mula mengejar “pangkat” dan “kedudukan”.

Walau apapun tanggapan ahli PAS sendiri atau orang ramai kepada pemilihan parti baru-baru ini, saya menganggap PAS melalui satu proses di mana fasa baru PAS sedang muncul dengan memberikan kepada PAS satu wajah baru yang dinamik.

Dengan menyebut dua sudut di atas, pemilihan Muktamar PAS telah sampai kepada tahap yang baru jika dibuat perbandingan dengan tahap dahulu. Ini memandangkan kepada beberapa faktor. Pertama ahli PAS semakin bertambah, kedua, potensi kepimpinan terserlah dan ketiga PAS menjadi parti nasional. Saya akan huraikan satu persatu.

Ahli PAS semakin bertambah bilangannya kepada 1juta ahli. Bermula sebagai sebuah parti yang kecil, kini PAS dikenali sebagai parti yang kategorinya ialah parti massa. Sudah tentulah bilangan yang ramai ini terbentuk daripada berbagai latarbelakang.

Walaupun pada awalnya PAS menarik minat golongan dari latarbelakang agama, namun trend ini berubah pada tahun 80an apabila golongan professional turut berminat untuk menyertai PAS. Trend ini telah mengadunkan keunikan PAS antara golongan agama dan professional, sehingga kini PAS mempunyai keahlian yang berbagai rencam dan tidak boleh dianggap sebagai parti agamawan semata-mata.

Latarbelakang yang berbagai ini telah menghasilkan dinamika kumpulan dalam PAS berasaskan pendidikan dan cara mereka melihat atau menilai sesuatu isu. Namun rencam dan ragam ini tidak boleh dilihat dalam perspektif yang negatif, ia sebahagian daripada proses kematangan sesebuah parti politik.

Sememangnya bukan mudah untuk mengendalikan kepelbagaian yang ada kerana ia memerlukan kepimpinan yang mampu menyesuaikan keadaan yang ada dengan menggunakan semaksima mungkin potensi parti. Cabaran yang perlu ditangani oleh kepimpinan PAS dalam suasana ini ialah bagaimana dapat mengimbangkan antara menggunakan potensi yang ada dan pada waktu yang sama mengekalkan kualiti komitmen kepada dasar perjuangan parti.

Selalunya “golongan lama” (old guard) parti akan lebih mementingkan soal-soal komitmen dasar manakala golongan muda (young turks) lebih melihat soal potensi yang hendak disumbangkan kepada parti. Di antara kebimbangan “komitmen dasar akan hilang” dan keghairahan “pelepasan potensi” berlakulah pembentukan kumpulan dalam parti yang merupakan sebahagian daripada dinamika kumpulan.

Berdasarkan kepada pemikiran ini, saya menilai pemilihan dalam Muktamar PAS kali ini adalah kerana ahli mahu menterjemahkan dan menyampaikan message kepada kepimpinan bahawa semua tenaga ini mesti digunakan potensi mereka. Dalam lipatan proses ini berlakulah pengecaman dan pelabelan kumpulan yang secara otomatik akan berlaku maka lahirlah berbagai istilah berdasarkan pengecaman kumpulan yang pada hakikatnya hanyalah pertembungan persepsi dan cara menilai bagaimana parti harus maju ke hadapan. Dalam proses itu ada di kalangan ahli yang menjadi emosional sehingga tanpa disedari mereka lebih fokus kepada isu kumpulan tetapi tidak tertumpu kepada isu membangunkan parti.

Kedua ialah lahirnya potensi-potensi baru yang muncul melalui pandangan-pandangan dan aktiviti yang dijalankan melalui platform parti sehingga terserlah kepimpinannya. Potensi-potensi ini mahu diambil perhatian supaya terserlah. Jika tidak mendapat perhatian potensi-potensi ini akan mencari ruang untuk menonjolkan dirinya antaranya ialah melalui pentas ceramah, program dalaman dan penulisan-penulisan serta kenyataan-kenyataan akhbar.

Bagi saya ini adalah normal dalam proses kemunculan kader-kader baru. Yang tidak normal ialah apabila potensi ini diabaikan dan suara yang mahukan perhatian akhirnya menjadi “suara-suara sumbang”. Saya menganggap lambakan calon untuk pertandingan ajk baru-baru ini adalah kemunculan potensi-potensi baru yang suara mereka mahu didengarkan melalui peti–peti undi.

Namun bagi para perwakilan, mereka terlalu berhati-hati dalam memberikan “ruang” kepada suara-suara baru ini, kecuali YB Bukit Gantang yang lain adalah barisan yang lama. Tetapi mereka tetap dapat meluahkan potensi mereka dengan jawatan-jawatan di kawasan atau negeri dan seperti pepatah Melayu “ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya” Walaupun semua mereka berpotensi namun hanya 18 kerusi sahaja yang ada untuk dipertandingkan untuk ajk sedangkan yang bertanding ialah 58 calon!

Ketiga ialah kemunculan PAS sebagai alternatif kepada Umno berupaya menjadikan PAS sebagai parti nasional. Kemunculan PAS sebagai parti nasional untuk semua kaum selain daripada mengekalkan base Melayunya sudah tentu menarik minat ramai orang. Persepsi awam kepada PAS pun sudah meningkat sebagai parti yang popular, PAS terus mendapat perhatian berbagai lapisan berbanding sebelumnya kerana ia sudah mendapat tempat dalam pesada politik nasional. Persepsi yang meningkat kepada PAS turut memberi rangsangan kepada calon-calon kerana mahu mendapat penghormatan berkhidmat kepada parti dalam suasana parti menjadi arus perdana.

Walaupun ketiga faktor di atas merasionalkan mengapa Muktamar baru-baru ini menjadi perhatian, namun saya turut merasa bimbang jika trend ini tidak diuruskan dengan baik oleh kepimpinan parti. Kita tidak boleh menafikan perkembangan positif ini untuk PAS tetapi ini bukan bermakna kita tidak boleh mengawal keadaan dari sudut perkembangan ini perlu menjadi pemangkin kepada kemunculan PAS sebagai parti nasional.

Secara ringkas mengurus perkembangan ini mesti bermula dengan menetapkan satu piawaian keahlian PAS supaya ada semacam satu standard ahli yang diiktiraf oleh sistem parti. Dengan cara ini tidak timbul lagi soal latarbelakang berbagai yang melabelkan dinamika kumpulan dalam PAS, yang ada ialah ahli PAS yang diiktiraf piawaiannya. Bagi mencapai maksud ini sistem pengkaderan keahlian perlu mentajdidkan program tarbiyahnya dalam kerangka sumber manusia parti yang lebih strategik.

Kedua ialah PAS perlu ada “successive leadership plan” supaya perancangan kepimpinan pelapis dapat memberi ruang kepada potensi-potensi baru mencari tapak-tapaknya untuk berlepas. Akhirnya kemunculan PAS sebagai parti yang aspirasinya adalah nasional perlu diurus dengan baik melalui penyerapan identiti nasional yang diterima sebagai simbol sebuah negara bangsa. Hanya dengan pemahaman kepada kemunculan elemen-elemen baru ini, PAS mampu mengharungi lebaran baru politik. Jika tidak Muktamar hanya tinggal resolusi dan calon yang beraspirasi dan berpotensi akan merasakan ruang dalam partinya terlalu sempit untuk dia melepaskan kebolehannya, dengan itu Muktamar pun berlalu...

1 comment:

  1. ana melihat dari sudut yg berbeza, cabaran untuk Dr adalah menguruskan persepsi umum terutamanya ahli PAS, dan perlu juga menguruskan org yang rapat dgn Dr... terutamanya org yg mengambil kesempatan, tp mesti menangani dgn cara yg bijaksana,dan berhemah.

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts